skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
ALLAH MENGATUR SEGALA URUSAN

Kita bertauhid melalui dua cara, pertama  bertauhid dengan akal dan keduanya bertauhid dengan hati. Bidang akal  ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas, bermula dari pokok kepada  dahan-dahan dan seterusnya kepada ranting-ranting. Setiap ranting ada  hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat pada perkara pokok,  bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada rantingnya atau  penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya berubah-ubah  menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap benar pada  mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang demikian  orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh  mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang  mudah mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika  persoalan ini diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang  akan menemui kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang  konkrit. Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah  membuktikan kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak  menggoyangkan keimanan maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa  kepada tunduk dengan iman. Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke  arah itu agar iman tidak dicampur dengan keraguan.
Selama nafsu  dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan menyerah diri  secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar termasuk dalam  perkara ghaib.
Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau  basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab  nafsu. Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi  kegelapan dalam keghaiban.
Kegelapan nafsu itu menghijab  sedangkan mata hati memerlukan cahaya ghaib untuk melihat perkara ghaib.  Cahaya ghaib yang menerangi alam ghaib adalah cahaya roh kerana roh  adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur hanya bersinar apabila  sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.Allah adalah cahaya  bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah  Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang  melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal  perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara  hamba-hamba-Nya (yang telah dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia  memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan, – ( Ayat 15 :  Surah al-Mu’min )
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai  Muhamma
 d) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan  perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan  kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah  iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami  beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara  hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah  memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, – Iaitu jalan  Allah yang memiliki dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di  bumi. Kepada Allah jualah kembali segala urusan. ( Ayat 52 & 53 :  Surah asy-Syura )
 
Apabila cahaya roh berjaya menghalau kegelapan  nafsu, mata hati akan menyaksikan yang ghaib. Penyaksian mata hati  membawa hati beriman kepada perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah  s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya yang  beriman. Dia berfirman:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi  kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah  redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah  )
Umat Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t  telah menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan  Islam. Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai  agama mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang  menuntut keredaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan,  sebaliknya terus berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh  Islam. Islam adalah perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek  kehidupan baik yang zahir mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan  apa yang mesti dibuat, apa yang mesti tidak dibuat, bagaimana mahu  bertindak menghadapi sesuatu dan bagaimana jika tidak mahu melakukan  apa-apa. Segala peraturan dan kod etika sudah dijelaskan dari perkara  yang paling kecil hingga kepada yang paling besar. Sudah dijelaskan cara  beribadat, cara berhubungan sesama manusia, cara membahagikan harta  pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta, cara makan, cara minum,  cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara hukum qisas cara  melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat dan semua aspek  kehidupan diterangkan dengan jelas.

 
Umat Islam tidak perlu  bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Segala  penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan rujuk kepada  Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab. Begitulah  besarnya nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah  menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita  ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak  mengatur atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika  terdapat peraturan Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita,  jangan pula melentur peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu,  sebaliknya nafsu hendaklah ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah  s.w.t.
 
Jika pendapat akal sesuai dengan Islam maka yakinilah akan  kebenaran pendapat tersebut, dan jika penemuan akal bercanggah dengan  Islam maka akuilah bahawa akal telah tersilap di dalam perkiraannya.  Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada akal semasa yang akan berubah  pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal kepada apa yang Tuhan kata  yang kebenarannya tidak akan berubah sampai bila-bila.
Orang yang  mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada Qadak dan  Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda kehidupan  tidak membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang berlaku  adalah menurut apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod yang  terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat  bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba berkewajipan  taat kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya.
Mungkin  timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal  fikiran, tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha  membaiki kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat  kepada takdir tanpa tadbir?
 
Allah s.w.t menceritakan tentang  tadbir orang yang beriman:
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa  tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa tempat barang saudara  kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu  dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan  rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat  mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika  dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan  pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang  berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui. (Ayat 76  : Surah Yusuf )

 
Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang  berlayar di lautan laksana gunung-ganang. (Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi  Yusuf a.s, dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa  saudaranya, Bunyamin, tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang  pada zahirnya diatur oleh Nabi Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t  mengatakan Dia yang mengatur muslihat tersebut dengan kehendak dan  kebijaksanaan-Nya. Kapal yang pada zahirnya dibina oleh manusia tetapi  dengan tegas Allah s.w.t mengatakan kapal itu adalah kepunyaan-Nya.  Ayat-ayat di atas memberi pengajaran mengenai tadbir yang dilakukan oleh  manusia.
Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan agar  pengikut-pengikut baginda s.a.w mentadbir kehidupan mereka. Tadbir yang  disarankan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang tidak memutuskan  hubungan dengan Allah s.w.t, tidak berganjak dari tawakal dan penyerahan  kepada Tuhan yang mengatur pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah  seseorang menyangka apabila dia menggunakan otaknya untuk berfikir maka  otak itu berfungsi dengan sendiri tanpa tadbir Ilahi. Dari mana  datangnya ilham yang diperolehi oleh otak itu jika tidak dari Tuhan?  Allah s.w.t yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan Dia juga yang  mendatangkan buah fikiran kepada otak itu. Tadbir yang dianjurkan oleh  Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah.  Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat dan  tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya  tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang  dapat dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah  menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya  menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak  sepatutnya melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha  Mengatur. Apabila apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka  dia akui bahawa kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan  aturan Allah s.w.t. Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya  bahawa aturannya wajib tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak  menjadi itu juga termasuk di dalam tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t  yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak  ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam urusan-Nya. 
trimas >>>> daygku iman
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
  
 
No comments:
Post a Comment