skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
Wanita hiasan Dunia

Mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti  umat Islam negara kita meletakkan bahawa suara wanita, muka dan  tangannya adalah bukan aurat. 
Baru-baru ini isu niqab (cadur)  timbul apabila Sheikhul Azhar Sheikh Muhammad Tantawi meminta para siswi  Al-Azhar agar melepaskan niqab. Walaupun ada pandangan mazhab lain  mengatakan suara dan seluruh badan wanita adalah aurat namun yang jelas  Mazhab Shafie yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara kita  meletakkan bahawa suara wanita, muka dan tangannya adalah bukan aurat. 
Dan  yang jelas lagi, tidak ada dalil Al-Quran serta hadis mengatakan bahawa  suara dan muka wanita serta tangannya itu aurat sebagaimana sangkaan  sesetengah pihak. Apakah mereka sedar bahawa Allah S.W.T membenarkan  para sahabat berkomunikasi dan bercakap-cakap dengan mereka (isteri  Nabi) di sebalik tirai sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 
Bertanyalah  kepada mereka dari belakang tabir yang demikian itu lebih bersih bagi  hati kamu dan mereka juga. 
(Al-Ahzab: 32 dan 53)
Dalam suatu  hadis, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: 
"Apabila seorang gadis itu  dewasa (sampai umur), maka tidak halal badannya terdedah selain muka  dan tangannya sahaja." 
Hakikat ini menggambarkan sebagaimana apa  yang berlaku terhadap Asma binti Abu Bakar apabila Asma datang berjumpa  Nabi SAW dengan pakaian jarang dan nipis. Baginda berpaling daripadanya  lalu bersabda yang bermaksud: 
Wahai Asma, seorang wanita apabila  sudah baligh, tidak elok lagi badan (tubuhnya) kelihatan selain muka dan  tangannya sahaja. 
(Riwayat Abu Daud)
Demikian juga  kaum wanita itu disuruh melabuhkan (tutupkan) atas lubang tengkuknya  sahaja bukan bermaksud tutup atas muka mereka. Kata Syaikh Yusuf  al-Qardawi, pendapat Ibnu Abbas lebih kuat dan masyhur pada pandangan  jumhur (kebanyakan) ulama, kerana katanya, banyak ayat dan hadis yang  mengarahkan kaum lelaki daripada umat Islam menyekat atau menutup  pandangan mata mereka, sama juga dengan kaum wanita disuruh merendahkan  pandangan mata mereka.  
Jika muka dan aurat wanita sudah tertutup  kemas di depan mereka maka pastilah arahan tersebut menjadi sia-sia dan  percuma tanpa sebarang makna dan tujuan. Pada prinsipnya suara, muka  dan tangan wanita bukanlah termasuk aurat. Sekiranya perkara tersebut  memang merupakan aurat, maka sukarlah bagi kaum wanita dan tentunya  taklif atau beban syariat yang dikenakan kepada mereka bersifat usr  iaitu sangat sukar. 
Ini bercanggah dengan prinsip agama Islam  bahawa Ad-Dinu Yusr, iaitu agama itu mudah, sedangkan kaum wanita juga  merupakan 'makhluk sosial' yang berhajat untuk berkomunikasi dengan  sesama insan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
Oleh itu janganlah  kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki  ajnabi) kerana yang demikian menimbulkan keinginan orang yang ada  penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan  sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik(sesuai dan sopan). 
(Surah  al-Ahzab: 32) 
Allah tidak melarang mereka secara mutlak untuk  bercakap dengan kaum lelaki bahkan membolehkan, selama tidak  mendatangkan fitnah bagi dirinya dan bagi kaum lelaki itu. Allah  melarang kaum wanita untuk melembutkan suara dan mendedah kecantikan  mereka semasa bercakap dengan kaum lelaki supaya mereka tidak tergoda  ataupun tergugat keimanannya dan menimbulkan berahinya. 
Dengan  demikian, pada prinsip suara, muka dan tangan wanita bukanlah aurat yang  dilarang untuk dilihat atau didengarkan. Dahulu para sahabat daripada  golongan lelaki dan wanita sering bertanya (berdialog) kepada Rasulullah  SAW tentang masalah-masalah hukum-hakam dalam agama dan didengar oleh  kaum lelaki dan wanita yang hadir daripada sahabat-sahabat baginda.  Bahkan sering pula mereka berdialog dengan para sahabat dan sebaliknya  sebagaimana di saat ada seorang wanita yang mengkritik Umar r.a. tentang  perkara mas kahwin. 
Rasulullah SAW pernah didatangi seorang  wanita yang menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Rasulullah SAW dan  membiarkan Rasulullah memerhatikan dirinya dari atas ke bawah, tetapi  setelah tidak ada sambutan yang memberangsangkan, maka dia pun terus  duduk di situ, lalu berkatalah salah seorang daripada kalangan sahabat:  "Kahwinkanlah wanita ini dengan saya".
Maka Rasulullah SAW terus  mengahwinkan wanita tersebut dengan lelaki yang berminat kepadanya itu. 
Ini  semua bukti melihat kepada muka wanita itu adalah harus dan bukan  aurat. Menurut Al-Qurtubi, suara wanita di saat berkata-kata bukanlah  termasuk aurat, lelaki dibolehkan bercakap-cakap atau berdialog dengan  wanita kerana ada hajat. Demikian juga sebaliknya mereka dibolehkan  membuka muka dan tangannya kerana tujuan tertentu tetapi wanita tidak  dibolehkan memerdukan, melembutkan atau mengindahkan suaranya ketika  bercakap dengan lelaki. 

Ia kerana perkara demikian boleh  menimbulkan berahinya dan juga membuat ia tergoda dan suka. Dengan  demikian sangat dianjurkan bagi kaum wanita untuk tidak berdialog dengan  kaum lelaki yang bukan mahramnya. Dalam ketentuan syariah yang lebih  berhati-hati (warak), dimakruhkan kepada kaum wanita untuk meninggikan  suara dalam membaca al-Quran, demikian pula tidak disyariatkan 'azan'  kecuali untuk jemaah wanita sahaja. 
Di dalam syariat fikah,  apabila seorang wanita ingin menegur kesilapan yang dilakukan oleh imam  di dalam solat berjemaah, maka ia tidak boleh menegur dengan membaca  'tasbih' sebagaimana yang dilakukan oleh lelaki, tetapi cukup dengan  menepuk tangannya sahaja sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang  diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. 
Demikian pula wanita  tidak disyariatkan untuk membaca bacaan-bacaan dalam sembahyang dengan  bacaan yang nyaring pada sembahyang Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana  yang disyariatkan bagi kaum lelaki sewaktu melakukan sembahyang  sendirian. Semua ini menunjukkan bahawa wanita mesti menjaga dan  berhati-hati terhadap fitnah yang boleh disebabkan oleh suara dan  perhiasan mereka, bukan bermakna suaranya dan perhiasan yang zahir  merupakan aurat. 
Di antara yang menggoda lelaki adalah derai  tawa (ketawa) seorang wanita di depan mereka, apalagi jenis ketawa yang  memberahikan. Demikian pula senyuman diiringi dengan ketawa kecil yang  seksi lagi menggoda, inilah yang sangat dilarang oleh agama kerana untuk  menjaga harga diri wanita dan juga mencegah daripada timbulnya fitnah.  Sama juga membunyikan perhiasan yang tersembunyi di kakinya. 
Jika  perkara tersebut dikatakan aurat, kenapa Rasulullah SAW sendiri pernah  mengizinkan isteri baginda melihat pertunjukan dua orang lelaki Habsyi  bermain pedang di pekarangan masjid dan mendengar dua wanita bernyanyi  di rumahnya. 
Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim,  daripada Aisyah r.a, katanya, Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke  tempatku. Ketika itu di sampingku ada dua orang gadis yang sedang  mendendangkan nyanyian tentang hari Bu'ats. Ku lihat Rasulullah SAW  berbaring tetapi dengan memalingkan mukanya. Pada saat itulah Abu Bakar  masuk dan ia marah kepadaku. 
Katanya, "Di tempat rumah Nabi ada  seruling syaitan?'' 
Mendengar seruan itu, Nabi SAW menghadapkan  muka baginda kepada Abu Bakar dan berkata: 
"Biarkanlah  kedua-duanya, wahai Abu Bakar". 
Dalam satu peristiwa lain,  Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk  memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah SAW. Dalam hadis yang  diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi, daripada Buraidah, menyebut: 
Suatu  hari Rasulullah SAW pergi untuk menghadapi suatu peperangan. Setelah  baginda pulang dari medan perang, datanglah seorang wanita kulit hitam  lalu berkata, 
"Ya Rasulullah, aku telah bernazar, iaitu kalau  tuan dipulangkan Allah dengan selamat, aku akan menabuh rebana dan  bernyanyi di hadapan tuan". 
Mendengar hal itu, Rasulullah SAW  bersabda: 
"Jika demikian nazarmu, maka tabuhlah. Tetapi kalau  tidak, maka jangan lakukan".
Kesemua keterangan tersebut  menunjukkan bahawa suara wanita dan perhiasan yang zahir daripadanya  bukan aurat. Rasulullah SAW juga secara praktikal pernah berbicara  dengan kaum wanita seperti mana ketika menerima bai'at daripada kaum ibu  sebelum dan sesudah hijrah. Bahkan dari segi syarak, baginda tidak  pernah menghalang kaum wanita untuk melaksanakan urusan jual beli,  menyampaikan ceramah, mengaji al-Quran, membaca qasidah atau syair. 
Jika  suara wanita itu dianggap aurat, sudah tentu dari segi hukum syarak  dianggap haram. 
Keterangan ayat al-Quran dan hadis, ditambah dengan  kisah-kisah yang dapat dijadikan teladan pada zaman Rasulullah SAW  dahulu seharusnya membuka mata fikir kita untuk tidak terus 'menzalimi  dan menghukumi' wanita secara sewenang-wenangnya.
 
pErkongsian dari Usrah utk bersama.....('',) 
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
  
 
3 comments:
satu perkongsian yang menarik... owhh.. UJ sendiri sebanrnya masih menyuruh isteri UJ mengekal kan niqabnya walaupun sudah berumah tangga...pada UJ biarlah di rumah dan bersama mereka yang bersaudara sahaja dia membukanya..alhamdulillah kami bahagia walaupun sesekali menjadi sdikit persoalan ditempat kerja UJ...
Allahuakbar..
alhamdulillah...alangkah bahagianya...saya berkongsi jugak kebahagian kalian sbb ada manisnya UJ buat mcm tu...Ana doakan semoga ana dapat mendidik isteri ana nati mcm UJ buat...boleh kongsi la cikit....Semoga mereka istiqomah dalam amalan...BAru ada halawatul iman...terima kasih UJ bg sokongan..dan sama2 kita doakan agar yg diluar itu nampak akan 'Mahligai Syurga' agar mereka berubah...smg malaysia menjadi negara yg ISLAMIC mcm era para sahabat....
insyaAllah
Post a Comment