♥♥Lebaran ukhwah♥♥

Kegagalan utama rakyat Malaysia dalam kewangan

Tuesday, July 9, 2019

SEBILANGAN besar rakyat Malaysia memang terkenal dengan kegagalan dalam sudut kewangan.

Namun daripada kegagalan itu, terdapat empat kegagalan utama yang sering dilakukan oleh kebanyakan warga Malaysia iaitu berkaitan insurans-takaful, lemah dalam disiplin menyimpan wang, mudah terpedaya dengan skim penipuan, dan harta beku akibat kematian.

Insurans

Sebanyak 41 peratus rakyat Malaysia memiliki insurans sementara hanya 15 peratus sahaja yang memiliki polisi takaful.

Dalam ilmu perancangan kewangan, perlindungan adalah perkara yang paling utama dan perlu diberi penekanan.

Tetapi malangnya, terlalu ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Cuba bayangkan berlaku situasi yang memerlukan rawatan kecemasan, oleh kerana tiada persediaan terpaksa pergi ke hospital kerajaan yang sememangnya ramai sedia maklum harus berdepan cabaran kerana bilangan pesakit yang terlalu ramai untuk mendapatkan rawatan.

Namun, tahu sahaja tidak cukup jika tidak bertindak. Malah, masih ramai yang berasakan perlindungan sebagai sesuatu pilihan dan tidak penting.

Mungkin mereka beranggapan bahawa musibah tidak akan berlaku kepada mereka.

Tetapi, kepada mereka yang telah pun mempunyai perlindungan, ini bermakna mereka sedang berada di landasan yang betul.

Namun persoalan lainnya pula, adakah perlindungan dimiliki kini mencukupi?

Justeru, semak semula jumlah perlindungan. Malah amat disarankan untuk mempunyai jumlah perlindungan sebanyak 10 kali ganda daripada gaji tahunan.

Bagi mereka yang bergaji RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun, ini bermakna anda memerlukan perlindungan sebanyak RM360,000!

Gagal menyimpan

Menurut kajian yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM), didapati bahawa 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000.

Keadaan sebegini boleh digambarkan seperti, daripada empat individu yang ditemui, tiga orang daripada mereka tidak ada simpanan sebanyak itu.

Sedangkan amatlah disarankan untuk mempunyai sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada gaji bulanan sebagai simpanan yang diletakkan sebagai tabung kecemasan.

Untuk congak paling mudah, jika gaji sebulan diperoleh adalah sebanyak RM3,000, pastikan di dalam akaun simpanan kecemasan telah pun tersedia wang bernilai RM9,000.

Itu ialah sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah seperti ditimpa kemalangan, kerosakan kereta atau lebih teruk lagi dibuang kerja.

Jika tiada persediaan segalanya akan menjadi sukar. Mungkin akan ada yang terpaksa meminjam daripada ahli keluarga atau sahabat handai. Lebih teruk jika terpaksa berhutang dengan pihak ah long. Jika keadaan itu berlaku, ia samalah dengan perumpamaan Melayu, 'Sudah jatuh ditimpa tangga'.

Skim penipuan

Hampir sejuta rakyat Malaysia rugi RM3.8 bilion oleh skim penipuan! Angka itu agak besar dan mengejutkan.

Menurut laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 974,301 individu mengalami kerugian sebanyak RM3.8 bilion kerana terpedaya dengan skim-skim penipuan yang banyak terdapat di Malaysia. Itu yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan mesti lebih banyak.

Memang wujud rakyat Malaysia yang sangat mudah terpedaya dan termakan dengan janji-janji manis daripada penipu.

Di antara skim penipuan yang popular adalah skim emas, mata wang digital, tukaran mata wang (forex), saham dan perniagaan.

Ini semua berlaku kerana ramai yang inginkan hidup senang, tetapi hanya mahu goyang kaki menunggu pulangan setiap bulan.

Disangkakan apa yang dilakukan skim pelaburan, rupa-rupanya skim peleburan.

Harta orang mati beku

Niat untuk mengumpul kekayaan untuk diwarisi kepada anak cucu sudah ada, tetapi kaedah pengagihan harta pula ramai yang masih lemah.

Di antara alasan biasa yang diberikan adalah proses penuntutan harta pusaka yang lama.

Sedangkan proses tersebut telah dipermudahkan dengan adanya wasiat dan hibah, tetapi berapa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang sedar akan kewujudan kemudahan itu?

Justeru, perlu ambil tahu dan perlu dapatkan maklumat sebanyak yang perlu daripada pihak-pihak tertentu.

Alangkah ruginya harta yang dikumpul sepanjang hayat dengan titik peluh sendiri terpaksa menjadi 'beku' dan gagal diwariskan kepada ahli keluarga dan orang tersayang hanya kerana kegagalan menguruskan ketika masih hidup.

Berubah

Memang jelas lagi nyata, ramai rakyat Malaysia amat lemah daripada sudut kewangan dan ia berpunca kerana kurangnya ilmu kewangan dan juga sikap sambil lewa.

Ramai yang tidak mengutamakan perlindungan dalam kehidupan, malah simpanan pun tiada. Tapi yang peliknya, ramai pula yang suka melabur ke tempat yang bukan-bukan yang akhirnya merugikan diri sendiri.

Namun, selagi masih bernyawa semuanya masih belum terlambat.

Malah, semakin ramai rakyat Malaysia telah terbuka minda mengenai pentingnya perancangan kewangan dalam kehidupan.

Oleh itu, jom memantapkan lagi ilmu kewangan agar masa depan diri, keluarga dan generasi keluarga akan datang lebih terjamin.

Tip pelaburan & penerangan berkaitan pengurusan kewangan ini dikongsikan oleh PMB Investment Berhad.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/36628/BISNES/PMB-INVESTMENT
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
 

♥AsmaulHusa♥

ღ♥HijRiahღ♥

♥Malaysia♥

~Kehidupan~

ღ♥UsRah Jannatiღ♥

Most Reading

Gambar renungan

free counters

Total Pageviews