skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
Tarbiyah Melahirkan "Soleh" Wa "Musleh"

Ia bukan sekadar proses biasa
“  Proses Tarbiyah yang kita lalui hari ini bukan sekadar untuk menjadi  SOLEH sahaja. Tetapi ia bertujuan membentuk kita sehingga lahirnya diri  kita sebagai MUSLEH,” kata Al Fadhli Ustaz Dahlan bin Mohd Zain. Waktu  itu saya masih di sekolah menengah.
Seingat saya inilah pertama  kali, perkataan Musleh yang saya dengar. “ Musleh membawa maksud orang  yang membaiki. Asal pada perkataan “islah.”
Tarbiyah Islamiyah  bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya,  beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan  mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan  berjihad pada jalan Allah SWT. Dan ia juga mampu memperbaiki sesuatu  keadaan ke arah yang lebih baik.
“ Baiki diri kamu dan ajaklah  orang lain,” Pesanan Mustafa Masyhur untuk kita.
“ Inilah yang  dinamakan sahsiah islamiyah. Peribadi yang Allah SWT suka dan kasih,”  Penerangan UDMZ sememangnya simple dan mudah. Saya tekun mendengar  nasihatnya pada kami dalam satu perhimpunan pagi.
Sewaktu di  sekolah menengah dahulu, murabbi di MATRI sangat-sangat menekankan  tentang proses pendidikan atau Tarbiyah. Ia sentiasa diulang-ulang,  disebut-sebut dan dihubung kaitkan dengan setiap aktiviti pelajar.
“  Proses tarbiyah mesti berlaku dalam setiap tindakan dan kehidupan kita.  Sehingga ia menjadi malakah (darah daging kita),” kata Ustaz.
Inilah  penekanan dan fokus yang ditekankan sewaktu proses awal saya dididik  dengan proses tarbiyah Islamiyah. Perkataan tarbiyah ini menjadi sesuatu  yang istimewa dan diakan menjadi satu yang mesti disebut dan proses  pentarbiyahan itu akan dilaksanakan secara meneyeluruh agar hasilannya  adalah sesuatu yang diharapkan oleh Allah SWT.
Proses Tarbiyah  mesti berterusan
Proses Tarbiyah Islamiyah dan Tarbiyah lmaniyah  mestilah berterusan, tidak boleh diabaikan atau dihentikan separuh jalan  atau ditamatkan. Silibusnya mencakupi sepanjang hayat seorang muslim.
Menurut  Al Syekh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyah dan pembersihan jiwa  diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau  ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan  layu dan kering. la akan terus hidup subur jika dibajai dan disirami.
Demikianlah  manusia. Hidup sebenarnya bagi individu adalah kerana adanya iman.  Hidup manusia sebenarnya adalah hidup hatinya dengan keimanan bukan  hidup jasad yang akan fana. Iman di dalam hati itulah yang akan  melahirkan kehidupan yang bermakna. Hati perlu digilap seialu kerana ia  mungkin berkarat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesunggubnya  hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sababat-sababat  bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?. Rasulullah menerangkan:  membaca Al Quran dan mengingati maut (mati).”
(HR Al Baihaqi)
lman  yang berada dalam jiwa manusia sentiasa terdedah kepada kelunturan dan  kelemahan kerana dijangkiti oleh berbagai penyakit seperti kesibukan  urusan duniawi, dan lain-lain. Oleh itu kita perlu banyak memohon  pertolongan kepada Allah SWT dengan sentiasa memperbaharui keimanan  kita. Sabda Rasuluilah SAW:
"Sesungguhnya iman itu boleb lusuh  seperti lusuhnya pakaian, maka bendaklah kamu memohon doa kepada Allah  SWT supaya diperbaharui keimanan itu di dalam jiwa kamu.' (HR Al Hakim  dan At Tabrani)
Faktor kejayaan Tarbiyah lslamiyah
Saya  berhajat ingin kongsikan satu tips atau faktor kejayaan proses Tarbiyah  yang dinyatakan oleh seorang Ulamak yang terkenal.
Dr. Yusuf AI  Qardhawi dalam bukunya, telah menjelaskan bahawa di sana ada beberapa  faktor yang membantu menjayakan Tarbiyah lslamiyah, antaranya :
Pertama
Kita  harus memilikit satu keyakinan sepenuhnya bahawa tarbiyah adalah  satu-satunya wasilah yang paling berkesan untuk merubah masyarakat,  melahirkan rijal dan seterusnya mencapai kejayaan.
Melalui  tarbiyahlah Rasuluilah SAW berjaya membentuk generasi rabbani sebagai  contoh yang sukar ditandingi. Jalan Tarbiyah adalah jalan yang jauh,  jalan yang sukar dan jalan yang bertahap-tahap. Sedikit sekali yang  mampu mengharungi jalan ini, tapi ianya satu-satunya jalan untuk sampai  kepada kejayaan.
Kedua
Hanya Tarbiyah Islam yang mempunyai  manhaj dan matlamat, lengkap dalam semua aspek dan jelas dari segi  sumber, proses don perancangannya.
Sumbernya jelas dan nyata  iaitu Al-Quran dan As Sunnah.
Ketiga
Tarbiyah lslamiyah  mampu mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni. Suasana ini membantu  setiap anggota masyrakat hidup secara Islam. Masyarakat dididik tentang  cara memberi tunjuk ajar, cara bersimpati, memberi pertolongan dan  sebagainya. Setiap anggota merasa sedikit dengan dirinya dan merasa  banyak dengan sahabat. Dia merasa lemah bila bersendirian dan merasa  kuat secara beramai.
Keempat
Adanya pemimpin yang bersifat  pendidik dengan fitrah yang Allah anugerahkan kepadanya. Pengetahuan  dan pengalamannya menjadikan Tarbiyahnya lahir daripada hati sanubari  yang bersih dan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
Saya juga  pernah kongsikan pengalaman-pengalaman saya bersama beberapa orang  Pemimpin, dan juga Murrabi yang ada disekeliling saya. Mungkin artikel  ini akan memberi manfaat sebagai bahan bacaan dan perkongsian. Hasrat  & Impian. dan Hargai Masa - Pengalaman Bersama Pemimpin.
Setiap  perkataan yang keluar dari hati akan masuk ke hati-hati yang lain tanpa  sekatan. Perkataan yang hanya lahir dari lidah semata-mata tidak akan  mampu melewati telinga pun.
Perpatah ada menyatakan: "Orang yang  kehilangan sesuatu benda nescaya ia tidak akan dapat memberikannya."
Kelima
Mempunyai  pendidik-pendidik yang ikhlas, berwibawa dan beramanah mengikut jalan  pemimpin agong Muhammad SAW. Tidaklah dimaksudkan pendidik di sini  mereka yang keluar dari pusal-pusat pengajian tinggi dalam bidang  tarbiyah atau pendidikan, dengan ijazah masters atau PhD.
Yang  dimaksud dengan pendidik di sini ialah mereka yang mempunyai keimanan  yang tinggi, kerohanian yang kuat, jiwa yang bersih, kemahuan yang  kental, simpati yang luas dan kewibawaan yang memberi kesan kepada orang  lain. Dia mungkin seorang jurutera atau seorang pegawai biasa atau  seorang peniaga atau seorang buruh yang tidak ada kaitan dengan  prinsip-prinsip atau sistem pendidikan.
Saya juga pernah  berkongsi tentang seorang Murabbi yang sangat saya hormati dalam satu  artikel “ Murrabi Ummah”. Semoga Allah SWT merahmati semua murrabi yang  pernah mendidik kita semua dengan keikhlasan dan kasih sayang.
Keenam
Menggunakan  berbagai-bagai wasilah (jalan) seperti kegiatan-kegiatan di dalam  halaqat, usrah-usrah, dan katibah-katibah yang dijuruskan ke arah  matlamat pembangunan insan muslim yang soleh dan sempurna.
Hari  ini sekiranya kita banyak melibatkan diri dalam aktiviti dan program,  kita juga kena penilaian semula keberkesanan program itu terhadap jiwa,  hati dan sanubari kita. MAZA juga pernah berpesan : “Program berjalan  tetapi proses tidak berlaku”.
Penutup
Menjadikan Islam  sebagai satu alternatif penyelesaian kepada masalah umat manusia  mestilah lahir daripada keyakinan yang berteraskan keimanan, bukan  disebabkan kegagalan sistem sistem lain. Islam hanya boleh memainkan  peranannya untuk menyelesaikan masalah manusia apabila ianya diambil  secara syumul dalam bentuk konkrit.
Oleh itu setiap pekerja  (amilin) Islam mestilah dibentuk dan diproses berteraskan aqidah tauhid  yang bersumberkan daripada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Islam  tidak akan dapat dibangunkan tanpa rijal (pahlawan).
Rijal tidak  dilahirkan tanpa melalui proses Tarbiyah. Dan Tarbiyah tidak akan  memberi sebarang kesan tanpa penglibatan dan penghayatan yang  bersungguh-sungguh daripada setiap individu. Adalah menjadi harapan dan  keyakinan setiap muslim bahawa masa depan adalah milik Islam.
perkongsian bersama usrah....
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
  
 
No comments:
Post a Comment