  | 
| Ganjaran Umat Islam | 
Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari‘at Islam juga membuka  peluang kepada sesiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia  disebut sebagai puasa sunat dan terbahagi kepada beberapa jenis.  Puasa-puasa sunat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Rasulullah  s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadis Qudsi):
“Setiap  amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan  Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah  melanjutkan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas  orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian  kasturi.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no:  1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)] Selain hadis di atas,  terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Para  pembaca boleh merujuk ke kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal  susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn ‘Affan, Riyadh,  2000). Di antara jenis puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan  Syawal. Puasa sunat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Dalilnya  ialah hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian  dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti  berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam  Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam  hari dari bulan Syawal)]
Darjat Hadis Puasa Sunat Enam Syawal.
Hadis  yang menjadi dalil puasa sunat enam Syawal adalah sahih sebagaimana  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Sebelum ini ada  segelintir pihak yang meragui kesahihan hadis ini. Keraguan tersebut  adalah sia-sia kerana hadis ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan  memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman  al-Bassam menjelaskan:
“Hadis ini nyata kesahihannya, ia datang  dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan  oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi  dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia  adalah hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua  jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi,  kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.” [Taudhih al-Ahkam min Bulugh  al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa  sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana  tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa  pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang  puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih: Dikeluarkan  oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab  berpuasa pada hari Aidil Fitri).]
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat  dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib  pada bulan Ramadhan. Hanya saja terdapat perbincangan di kalangan para  ilmuan: Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari  atau secara rambang?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia  boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan  sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w.  menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal  secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam  tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal  asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal.
Walaubagaimana  pun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal  berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: “Dan segeralah kamu kepada  (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan  kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala  langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah  Ali Imran 3:133]
Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud  perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah dibolehkan berpuasa sunat  enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum  diqadhanya? Perbincangan ini membuahkan dua pendapat.
Pendapat  Pertama membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu  'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya  hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki  hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada  bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w..” [Sahih:  Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1146 (Kitab al-Siyam,  Bab mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syawal). Dalam Shahih  al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayai Rasulullah”  ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yangbernama Yahya bin  Sa‘id.]
Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama  berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah,  tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya  dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban  menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang  itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua tidak  membolehkannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam  Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis  tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia  mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti  berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah s.a.w. mensyaratkan  “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya  dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam  Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa  Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha  terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam  Syawal.
Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua  kerana lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain  dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi  sedekah yang sunat. Ini ditambah dengan ayat 133 surah Ali Imran yang  dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal  kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih disegerakan dari amal yang  sunat.
Ada pun dalil yang digunakan oleh pendapat  pertama, ia hanya satu andaian. Mereka hanya membuat andaian bahawa  Aisyah telah berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Yang benar  Aisyah tidak menerangkan sedemikian. Bahkan jika diperhatikan dengan  cermat keterangan Aisyah, terdapat isyarat bahawa beliau juga tidak  berpuasa sunat enam Syawal. Ini kerana jika beliau sentiasa sibuk  melayani Rasulullah sehingga ke bulan Sya’ban, bererti beliau  sememangnya tidak sempat untuk berpuasa tanpa mengira sama ada ia puasa  wajib (mengqadha puasa Ramadhan) mahu pun puasa sunat (enam Syawal).
Di  sini mungkin ada yang bertanya: “Ehh! Takkanlah isteri Rasulullah tak  puasa sunat enam Syawal?” Pertanyaan ini dijawab, bahawa umat Islam  generasi awal, termasuklah Aisyah, tidak memahami Islam dalam bentuk  juzuk-juzuk kecil sebagaimana yang difahami oleh umat Islam masa kini.  Mereka memahami Islam dalam konteks yang luas lagi jauh ke hadapan. Bagi  mereka, amal yang memberi manfaat kepada orang ramai diunggulkan di  atas amal yang memberi manfaat kepada diri sendiri. Amal yang besar  manfaatnya diunggulkan di atas amal yang sederhana manfaatnya. Amal yang  memiliki manfaat jangka panjang diunggulkan di atas amal yang memiliki  manfaat jangka pendek.
Justeru jika Aisyah tidak berpuasa  sunat enam Syawal, ia bukanlah satu kekurangan. Ini kerana memberi  tumpuan melayani Rasulullah s.a.w. memiliki manfaat yang besar untuk  umat Islam seluruhnya untuk jangka masa yang panjang.
Ibadah Puasa Bukan Syampu Rambut 2 Dalam 1.
Terdapat  pandangan yang amat masyhur di Malaysia yang membolehkan puasa dua  dalam satu, iaitu puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat Syawal  dilaksanakan dalam satu hari. Ramai agamawan yang menyampaikan petua ini  tanpa mengemukakan apa-apa dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.  Tidak kurang pula, ramai orang bukan agama yang menerima petua ini tanpa  bertanya apakah dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih yang  membolehkannya. Mereka menjadikan persoalan ini semudah syampu rambut 2  dalam 1.
Padahal ia adalah satu persoalan yang amat berat. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah (1394H) menjelaskan:
“Kemudian  hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa  fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu  tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya  ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya  menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. [al-Baiyinah  98:05].
Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah  mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh.  Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian  perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada  A'isyah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan  sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya  itu tertolak.
Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan  dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada  dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada dibenarkan oleh Allah s.w.t..  Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.”
*mekasih Qhadeeja atas perkongsian..Allahu yubarik...