skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
Kisah Saudara Baru
Sekian lama diri ini tidak mengongsikan kisah-kisah untuk sahabat- sahabatSemoga mesej fowd ini ada manfaat untuk semua(^^,)
JUAN  Galvan, berkongsi pengalamannya pulang ke rumah buat pertama kali  setelah bergelar muslim dan bagaimana penerimaan ahli keluarganya yang  kebanyakannya berdarah Mexico- Amerika.
Ikuti pengalaman Juan  Galvan yang telah menghasilkan buku terbarunya, What's Old is New Again :  Latinos Revert to Islam bersama Samantha Sanchez.
Dalam  penerbangan pulang ke Austin, Texas, minda saya sering berputar  mengingati hari-hari sebelum saya bergelar muslim. Pertemuan dengan  Armando, seorang muslim Latin adalah titik permulaan yang membawa saya  mengenali agama suci Allah ini.
Semasa menudingkan jarinya ke  arah selatan dan kemudiannya barat, dia berkata kepada saya bahawa semua  yang ada di atas muka ini adalah ciptaan Allah SWT Maha Penguasa.
Pada waktu itu, dia baru selesai mengerjakan solat Maghrib dan keindahan matahari terbenam masih lagi terbayang di minda saya.
Ketenangan
Hati  saya berdetik, memang benar dengan mengingati Allah, hati kita akan  menemui ketenangan seperti mana yang dinyatakan dalam al-Quran surah  al-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan  hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya  dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.
Saya menjenguk ke  luar tingkap kapal terbang dan tidak dapat menolak untuk melihat apa  yang terbentang luas di depan mata. Saat itu, saya menyedari hakikat  kehidupan sebenar.
Sebagai orang Islam, kita mesti menerima  kewujudan Allah SWT sebagai Maha Pencipta yang mencipta segala di langit  dan bumi. Dengan itu, secara tidak langsung, dapat mendalami tujuan  kehidupan sebagai hamba di sisi-Nya.
Kali pertama bersua ahli keluarga, selepas memeluk agama Islam, saya diterpa dengan pelbagai persoalan mengenai Islam.
Semua ahli keluarga termasuk adik-beradik yang menetap di Pampa, Texas, mengajukan soalan mengenai adakah Muhammad itu Tuhan.
Malah, ayah pernah mempersoalkan kepada saya kenapa perlu bersembahyang di atas tikar.
Kemudiannya  saya menjawab dengan baik: "Kenapa pula menyembah patung orang yang  sudah mati di dinding itu," sambil tangan saya menunjukkan ke arah salib  dan patung Jesus yang besar di ruang tamu.
Pada hari pertama di  rumah keluarga, saya mendirikan solat di bilik adik perempuan saya,  Cathy yang berusia 14 tahun. Ini kerana, biliknya tidak mempunyai  simbol-simbol keagamaan dan yang ada hanyalah poster besar kumpulan  kegemarannya, Backstreet Boys.
Boleh dikatakan, setiap dinding di  rumah keluarga saya tergantung gambar-gambar Jesus dan Mary serta tanda  salib. Saya mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga. Sememangnya  bagi keluarga Amerika dari Mexico, mereka mempunyai hubungan yang erat  dengan ahli keluarga dan turut mementingkan anutan agama.
Ketika  lawatan saya ke Pampa, saya turut meluangkan masa berdiskusi mengenai  Islam. Bagi Mexico-Amerika, mereka lebih suka berfikir bahawa keturunan  mereka berasal dari Roman Katolik.
Saya tidak mahu terus-menerus  menjadi pengikut yang buta kepada kepercayaan tradisi sebegini. Kini,  saya adalah orang Islam kerana percaya bahawa agama Islam yang  sebenar-benarnya.
Maka, saya jelaskan perkara ini kepada ahli  keluarga yang lain. Saya berharap dengan cara ini, saya tidak menderhaka  kepada mereka sebaliknya menjelaskan perkara yang betul kepada orang  yang saya disayangi.
Saya sempat menghadiahkan senaskah al-Quran kepada adik saya dan sebuah buku mengenai pengenalan kepada Islam.
Di samping itu, saya turut meletakkan alamat laman web www.LatinoDawah.org dan www.HispanicMuslims.com di komputer milik keluarga saya.
Untuk  menyatakan keadaan sebenar mengenai Islam, saya tidak ketinggalan  membuat banyak salinan fail ke komputer dengan harapan mereka akan  terbuka hati untuk membacanya.
Pada pendapat saya, hanya dengan  mendalami Islam sahaja dapat menjawab banyak persoalan dan kemusykilan  yang timbul, antaranya siapakah Tuhan dan adakah Jesus adalah Tuhan?
Saya  meluangkan banyak masa untuk menjelaskan mengenai kekeliruan yang  timbul mengenai agama suci ini. Dalam aspek lain, saya turut  mempersoalkan kenapa masyarakat Amerika kurang didedahkan dengan  pemahaman yang tepat mengenai Islam.
Apa yang saya harapkan agar  adik saya dapat memahami agama Islam dengan lebih terbuka dan ia  bukanlah agama yang menindas kaum wanita.
Saya jelaskan kepadanya  bahawa Islam tidak mahu wanita menjadi objek seks dan atas sebab itu,  mereka diwajibkan menutup aurat bagi mengelakkan wanita menjadi tatapan  umum.
Sepanjang bergelar Muslim, saya bukan sahaja perlu  menjelaskan mengenai Islam kepada ahli keluarga malah tidak terlepas  melalui pengalaman-pengalaman pahit.
Antaranya, ketika ditahan  pengawal sekuriti di lapangan terbang dalam perjalanan ke Pampa. Ketika  membuka beg saya, mereka terkejut apabila mendapati terdapat senaskah  al-Quran, sejadah dan pita rakaman mengenai ceramah agama di dalamnya.
Ini  kerana, saya bercadang untuk mendirikan solat di lapangan terbang di  Austin sebelum memasuki kapal terbang kembali tetapi saya tidak mahu  mengejutkan penumpang yang lain.
Selepas menceritakan perkara  tersebut kepada abang saya, dia mencadangkan agar saya pulang ke rumah  dengan menaiki penerbangan lain.
Tidak berapa lama selepas  tragedi 11 September 2001, ayah saya pernah bertanya kepada ibu mengenai  hal ini. Ibu menangis ketika memeluk saya untuk mengucapkan selamat  tinggal. Tetapi saya cuba melindungi kesedihan dengan harapan ibu akan  merindui saya dan bukannya kerana bimbang saya akan menyertai Taliban.
Selepas  menaiki kapal terbang, saya menjenguk ke luar tingkap dan ternampak  Texas Panhandle, jurang dan lembah serta ladang-ladang. Tidak  ketinggalan, jalan raya yang bersimpang siur.
Sejenak, saya bertakafur mensyukuri nikmat Allah SWT di atas segala-galanya yang diciptakan untuk kita di langit dan bumi.
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
  
 
No comments:
Post a Comment