skip to main  |
      skip to sidebar
          
        
          
        
Muhasabah Diri
Adakalanya,  dalam hidup ini kita mendapat kejayaan demi kejayaan, kecemerlangan  demi kecemerlangan tanpa kegagalan. Sama ada dalam pelajaran, sukan,  perniagaan, dakwah dan apa jua bidang yang kita ceburi. Dan kejayaan itu  tidak henti, terus bertandang menghiasi dunia kita dan akhirnya pujian  demi pujian datang bertalu-talu hinggap di telinga. Sehingga akhirnya  hati menyebut tanpa disedari, "Akulah yang terbaik".
Kejayaan  pada hakikatnya adalah ujian dari Allah untuk melihat kita sejauh mana  kita bersyukur. Dan sejauh mana kita merendah diri kepadaNya. Ada  sesetengan manusia apabila diberikan kelebihan dalam sesuatu perkara, ia  cepat merasakan hebat dan besar. Dalam kehebatannya bertutur atau  bersukan terbina satu tembok kemegahan dalam hati. Apabila seluruh  manusia mendengar kata-katanya, ia merasakan dialah yang mampu mengubah  manusia daripada kejahatan keada kebaikan.
Apabila seseorang  merasakan dirinya yang paling layak dalam melakukan sesuatu perkara,  bermaksud ia telah tertipu dengan kejayaannya yang lalu. Kelebihan diri  boleh menjadi kabus yang hitam, menggelapkan pandangan hati daripada  sifat tawaddu' dan merendah diri. Jika semalam kita berjaya, belum tentu  esok lusa hari kita.
Kadangkala kita berasa hebat kerana kita  hidup dalam kelompok yang tiada kelebihan. Contohnya, seorang yang  pandai bermain bola apabila tinggal bersama rakan-rakannya yang kaki  bangku; sudah tentu dia akan hebat dalam bermain bola. Tetapi apabila  dia pergi ke luar dan hidup bersama pemain-pemain bola professional,  barulah ia tahu betapa tinggi langit dari bumi. Barulah ia tersentak  betapa lemahnya dia dalam bermain bola.
Inilah antara sebab,  mengapa kita berasa hebat. Kerana kita tinggal bersama mereka yang tidak  hebat. Apabila kita cuba melangkah keluar, berjumpa dengan orang yang  setaraf dengan kita, kita akan mengerti apa ertinya 'kehebatan'. Sebab  itulah kita perhatikan pengalaman adalah sebaik-baik pelajaran. Semakin  ramai manusia yang kita temui, semakin kita mengerti kehidupan ini.  Semakin jauh kita merantau, semakin kita menjadi matang dalam menentukan  yang terbaik untuk kehidupan.
Belajarlah merendah diri, kita  semua tidak hebat. Hanyalah hamba tuhan yang lemah. Berusahalah untuk  menerima kekurangan diri walaupun ia amat pahit untuk ditelan. Ilmu yang  kita dalami, kecantikan yang kita miliki, kejayaan yang kita alami,  bukan milik kita. Bukan milik kita sama sekali. Janganlah tertipu dengan  kelebihan diri yang akhirnya menjadikan kita seorang yang sombong dan  bongkak, walaupun tidak terzahir pada riak wajah. Namun, kesombongan itu  akan bercambah apabila kita sukar menerima kejayaan dan kehebatan orang  lain. Yang kita fikirkan hanyalah.. "Aku yang paling layak".
Belajarlah  merendah diri dengan menuai sifat taqwa di dasar hati. Usah  mencari-cari peluang untuk menonjol dan menjadi popolar. Kemasyhuran  adalah kehancuran seandainya ia dihadapi dengan sifat takabbur dan  membesar diri. Belajarlah merendah diri, itulah sebenarnya kehebatan  yang sering disalah erti.
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
  
 
No comments:
Post a Comment