"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat" (al-Hujurat: 10)
Ukhwah bermaksud persaudaraan. Perkataan ukhwah berasal daripada perkataan akhun atau akh yang bererti saudara. Saudara lelaki disebut akhun manakala saudara perempuan disebut pula sebagai ukhtu. Tetapi,perkataan ukhwah itu sendiri tidak membezakan antara sesama lelaki atau sesama perempuan, ia merangkumi semua secara umum, lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, dan lelaki sesama perempuan. Bersaudara bukanlah bermaksud kita boleh memperlakukan orang-orang lain seperti adik kita, tetapi bagaimana rasa kasih dan sayang itu kita terapkan terhadap saudara-saudara kita yang lain sama seperti mana kita berikan kepada adik-beradik kita.
Maka persoalannya, wujudkah istilah ukhwah antara lelaki dan perempuan?
Dalam ilmu usul fiqh, kita mengetahui bahawa dalam menentukan sesuatu hukum, jika tiada dalil dari nas al-Quran mahu pun al-Hadis yang mengharam atau menghalalkan sesuatu perkara, maka ianya jatuh hukum secara harus (mubah). Tiada satu pun hadis atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan bukan bersaudara. Jadi dari mana pula datangnya hukum atau pernyataan yang mengatakan 'tiada ukhwah antara lelaki dan perempuan'?
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" (at-Taubah: 71)
Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya" (Bukhari dan Muslim)
Menyalahgunakan Istilah Ukhwah
Bukan istilah ukhwah itu yang menjadi masalah, tetapi mereka yang menggunakan istilah ukhwah untuk agenda tersembunyi, itu yang bermasalah. Kononnya dalam SMS mahu pun laman jaringan sosial maya, mereka menggunakan istilah 'Salam Ukhwah' dan seumpamanya, untuk berkenalan dengan kaum berlainan jantina. Mereka melapik perbuatan yang mungkar dengan benda yang maaruf. Ini yang salah.
Ikhtilat bukan ukhwah. Ikhtilat adalah percampuran, atau juga pergaulan. Ukhwah itu dibina atas landasan akidah yang sama, tetapi ikhtilat itu tidak memerlukan apa-apa ikatan landasan untuk dibentuk atau dibina. Senang kata, tidak mungkin percampuran seorang lelaki dan seorang perempuan (berdua-duaan) itu berlaku atas nama ukhwah (yang dibina atas dasar iman dan takwa), tetapi ianya hakikatnya adalah suatu bentuk ikhtilat yang ditanam atas dasar nafsu dan bisikan syaitan!
Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam bukunya Fatwa Mua'sarah (Fatwa Kontemporari) mengatakan bahawa perkataan 'ikhtilat' itu sendiri sebenarnya dipinjam dari perkataan luar, yang mana ianya tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan ukhwah yang sebenar antara muslim. Tidak berlaku di zaman Nabi tentang ikhtilat melainkan para sahabat semuanya berhimpun, bergaul, dan berinteraksi atas landasan ukhwah Islamiyah yang sejati.
Ukhwah itu cinta, tetapi cinta tidak semestinya ukhwah. Cinta itu ada banyak peringkat dan sifatnya. Terlalu banyak buku yang mengelaskan peringkat-peringkat cinta, hingga saya juga pening kepala membaca dan menyatukan kesemuanya. Namun apa yang boleh difahami, ukhwah itu menerbitkan rasa cinta sesama saudara, tetapi cinta itu pula, tidak semestinya lahir dari ikatan ukhwah yang didirikan, ianya boleh muncul secara tiba-tiba, boleh muncul disebalik rasa kebencian, malah boleh juga timbul pada saat yang tidak pernah kita jangkakan sendiri. Dan semestinya, rasa cinta kita terhadap setiap individu berbeza. Cinta seorang suami terhadap isterinya mestilah lebih tinggi daripada cintanya terhadap jiran perempuannya, walaupun mereka berbual, tolong-menolong atas landasan ukhwah.
Interaksi Lelaki dan Perempuan
Interaksi antara lelaki dan perempuan itu dibenarkan, namun ada batasnya, ianya bukanlah ditegah secara mutlak, dan bukan juga dibenar secara mutlak. Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam interaksi antara lelaki dan perempuan,baik sesama muslim mahu pun dengan yang bukan muslim. Ianya tergunapakai dalam semua keadaan.
"...Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..." (al-Ahzab: 53)
Ada yang menggunakan dalil di atas (atau yang lain-lain seumpamanya) untuk mengatakan bahawa interaksi antara lelaki dan perempuan itu ditegah, sebab itu ianya dibuat disebalik hijab. Malangnya penyataan itu adalah terpesong dari maksud sebenar ayat al-Quran ini. Jika benar tidak boleh ada interaksi antara lelaki dan perempuan, maka sepatutnya ayat 'tidak boleh langsung meminta' yang keluar. Hijab (belakang tabir) itu menunjukkan bahawa interaksi lelaki perempuan itu dibenarkan, namun hendaklah mempunyai batas, yang mana batas itu dapat menundukkan hati-hati mereka, lelaki dan perempuan.
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuatkan" (an-Nur: 30)
"Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam bicara hingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik" (al-Ahzab: 32)
Saya rasa tidak perlu saya menerangkan dengan panjang lebar apa batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan, cukup kiranya dua dalil yang saya nyatakan di atas. Pembaca boleh mencari sumber di laman web lain atau buku-buku mengenai batas pergaulan dengan lebih terperinci. Saya lebih menyarankan pembaca untuk 'bergerak' dalam membaca dan mencari ilmu supaya pengetahuan pembaca lebih jelas dan luas, malah dapat memupuk semangat mencari ilmu, insyaallah.
Mereka Itu Mad'u Dakwah Kita
Saya secara peribadi amat mengalu-alukan sesiapa untuk berkenalan dengan saya, tidak kira jantina, usia mahu pun bangsa, kerana saya menganggap mereka semua sebagai mad'u (orang yang didakwah) saya. Biarpun mungkin mereka berniat jahat terhadap kita, tetapi itu bukan masalahnya, masalahnya ialah jika kita 'dikawal' oleh mereka. Mengapa kita tidak cuba mengambil manfaat daripada perkenalan ini? Saya tahu, ramai yang mengelakkan daripada perkenalan di alam maya kerana ianya penuh dengan kedustaan dan ketidakpastian, terutamanya para muslimat sekalian. Saya faham, dan saya hormati keputusan anda semua, kerana waspada itu adalah langkah yang terbaik. Tetapi bagi saya sendiri, ini merupakan satu medan dakwah saya, dan juga medan menimba ilmu saya. Banyak kenalan banyak informasi, banyak kenalan banyak ukhwah, dan banyak kenalan banyak juga kerenah!
Siapa kata saya tiada perkenalan di alam maya? Banyak...terlalu banyak hingga saya tidak dapat ingat kesemuanya. Namun, setelah bertahun-tahun, banyak juga ilmu dan pandangan yang saya terima daripada mereka semua, terima kasih atas perkongsian.
Cuma sekali lagi yang perlu saya tekankan, jaga batas pergaulan, itu saja. Insyaallah selamat.
Dan juga jauhkan diri daripada fitnah.
Lagi satu masalah yang sering dihadapi terutamanya kaum wanita muslimah adalah tidak mampu menegur lelaki yang bergaul dengan mereka agar menjaga batas-batasnya. Seperti contoh, si lelaki dan si perempuan ini adalah rakan sekuliah, namun si lelaki ini terlalu cuba hendak rapat dengan si perempuan ini hingga menimbulkan rasa tidak sedap hati dan terganggu. Maka si perempuan hendaklah menegur perbuatan si lelaki itu dengan berhikmah.
Jika tidak berkesan juga, maka tinggalkanlah si lelaki itu kerana ianya mungkin akan lebih memudaratkan lagi. Biarlah si lelaki berkata si perempuan itu sombong, itu semua dugaan dan ujian terhadap si perempuan, anda sudah cuba untuk menasihatinya, jika tidak berkesan jauhkan diri, itu lebih baik, insyaallah.
Masalah Hati?
"Kami pada mulanya berkawan biasa sahaja, sentiasa membicarakan tentang hal-hal yang berfaedah, tetapi lama-lama saya tidak dapat membendung rasa 'itu' terhadap dia! Bagaimana ini?"
"Apa batasnya yang menjauhkan kami dari menghampiri zina seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran?"
Saya tidak berani hendak berbicara mengenai perkara ini dengan mendalam kerana ilmu dan pengalaman saya tentang perkara ini terhad. Saya cuba menjawab dengan mengambil dua ayat ini;
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berkebelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam bersaudara orang Islam, tiada boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya" (riwayat Muslim)
"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti" (al-Hujurat: 13)
Nampak apa huraian di kedua-dua penghujung ayat di atas? TAKWA.
Wallahu'alam.
Syukran riz....
No comments:
Post a Comment